2 Ahli Parlimen, 1 Senator antara 28 kes Covid-19 menjelang sidang Parlimen

2 Ahli Parlimen, 1 Senator antara 28 kes Covid-19 menjelang sidang Parlimen

Ia susulan ujian saringan RT-PCR ke atas 1,801 Ahli Parlimen, Senator dan pegawai mereka sejak kelmarin hingga semalam.

Hasil siasatan awal mendapati 28 kes positif itu sudah lengkap vaksinasi, dengan 15 daripadanya pernah positif Covid-19, iaitu antara 27 Mei hingga 1 Sept lalu, manakala 13 lagi pertama kali dijangkiti virus itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen dan seorang Senator antara 28 individu yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan menjelang persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif itu dikesan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) menjalankan ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) ke atas semua Ahli Parlimen, Senator dan pegawai mereka seramai 1,801 orang.

“Pada 10 hingga 11 Sept lalu, MKAK menjalankan ujian saringan RT-PCR ke atas semua yang hadir di Kompleks Parlimen.

“Seramai 1,801 individu telah disaring, di mana 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 kakitangan Parlimen. Selain itu, dua Ahli Parlimen juga dikesan positif hasil saringan di luar kompleks,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati semua individu positif itu sudah lengkap vaksinasi, dengan 15 daripadanya pernah positif Covid-19, iaitu antara 27 Mei hingga 1 Sept lalu, manakala 13 lagi pertama kali dijangkiti virus itu.

Daripada 28 kes positif itu, dua daripadanya mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, dengan nilai kitaran ambang RT-PCR antara 17.57 sehingga 20.58 dan baki 26 kes dengan nilai CT 21.95 hingga 38.23.

“Ujian PCR genotyping assay yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah varian Beta. Bagi mengesahkan jenis varian ini, MKAK mula melakukan penjujukan genom Covid-19 (Whole Genome Sequencing).”

Susulan itu, katanya, 13 daripada 28 individu itu dilarang menghadiri sidang Parlimen yang akan bermula esok, manakala 15 kes akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut boleh diambil.

“Tindakan ini penting bagi mengenal pasti lebih lanjut status jangkitan mereka, memandangkan ada kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan. Buat masa ini, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM.”

Beliau berkata, pihak Parlimen bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah menetapkan SOP bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang itu serta mengurangkan risiko penularan Covid-19 sepanjang persidangan tersebut.

Antara SOP itu ialah mereka lengkap divaksin lebih 14 hari dari tarikh dos terakhir dan menjalani ujian saringan RT-PCR dalam tempoh tiga hari sebelum memasuki Parlimen.

“Sepanjang sidang Parlimen berlangsung, semua hadirin ke Kompleks Parlimen perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan Covid-19 yang ditetapkan pihak Parlimen. Ujian kendiri ini akan dijalankan di Dewan Serbaguna Parlimen menggunakan kit ujian RTK-Ag.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.