MEDAC tubuh jawatankuasa khas selaras dasar agensi, bantu usahawan

MEDAC tubuh jawatankuasa khas selaras dasar agensi, bantu usahawan

Skim sedia ada dan yang bakal diwujudkan akan diselaraskan supaya lebih tersusun dan mencapai golongan usahawan yang memerlukan bantuan pinjaman.

Noh Omar berkata usahawan yang terjejas, mereka yang diberhentikan kerja dan golongan asnaf yang mahu menjadi usahawan antara kumpulan yang bakal diberi tumpuan dalam bantuan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan sebagai gerak kerja awal Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk menyelaraskan dasar-dasar agensi di bawah pentadbirannya.

Menterinya, Noh Omar berkata jawatankuasa khas yang akan diketuai Suriani Ahmad itu bertujuan untuk menyelaraskan skim sedia ada dan yang bakal diwujudkan supaya lebih tersusun dan mencapai golongan usahawan yang memerlukan bantuan pinjaman khususnya.

“Oleh itu, (MEDAC akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas), saya perlu menyelaraskannya supaya dasar ini adalah dasar kementerian dan bukan dasar agensi,” katanya, menurut laporan Bernama, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke rumah seorang bekas tentera yang dibaik pulih oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Parit Tiga Sungai Burong di Tanjong Karang.

Kata Noh, lima kumpulan akan diberi tumpuan dalam memberikan bantuan terutamanya semasa pandemik Covid-19 iaitu usahawan yang terjejas, mereka yang diberhentikan kerja, mahasiswa, golongan asnaf yang mahu menjadi usahawan dan usahawan yang memulakan perniagaan menggunakan modal sendiri.

“Saya telah mendengar taklimat dan melihat perancangan (jabatan dan agensi di bawah MEDAC) untuk membantu usahawan.

“Insya-Allah, saya akan memberi tumpuan kepada lima kumpulan tersebut dalam memberikan bantuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.