Jangan undang ‘bala’, hentikan aktiviti puja, khurafat di Gunung Jerai, kata menteri

Jangan undang ‘bala’, hentikan aktiviti puja, khurafat di Gunung Jerai, kata menteri

Idris Ahmad berkata, aktiviti pemujaan dan khurafat merupakan amalan tidak baik serta boleh merosakkan akidah dan pegangan agama seseorang.

Aktiviti seperti bertapa, memuja nombor ekor dan mandi bunga dikatakan banyak dilakukan golongan tidak bertanggungjawab, terutama di Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menggesa aktiviti pemujaan dan khurafat di Gunung Jerai, Yan, Kedah dihentikan segera bagi memastikan tidak berlaku lagi “bala” akibat perbuatan yang bercanggah ajaran Islam di gunung itu.

Katanya, perbuatan tersebut tidak sepatutnya berulang kerana boleh merosakkan akidah serta pegangan agama seseorang.

“Saya yakin dan percaya di Kedah ini ramai dalam kalangan tok-tok guru, para alim ulama yang banyak memainkan peranan untuk menghilangkan sikap khurafat seperti ini.

“Kita harapkan supaya benda-benda ini dihentikan kerana apabila datang bala Allah ini, dia tidak kena kepada orang yang buat itu (khurafat) sahaja, tetapi kepada semua orang,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Sebelum ini, aktiviti seperti bertapa, memuja nombor ekor dan mandi bunga dikatakan banyak dilakukan golongan tidak bertanggungjawab, terutama di Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

Mengulas tindakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti khurafat di Gunung Jerai, beliau percaya jabatan agama negeri akan bertindak dalam menangani isu tersebut.

“Saya yakin dan percaya tindakan itu (menghentikan aktiviti pemujaan dan khurafat) sudah dan sedang diambil pihak agama di daerah ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.