Jangan rayu keputusan mahkamah mengenai kerakyatan, kerajaan diberitahu

Jangan rayu keputusan mahkamah mengenai kerakyatan, kerajaan diberitahu

Manfaat terbesar keputusan ini bagi wanita rakyat Malaysia adalah kebebasan untuk berkahwin dengan warga asing tanpa perlu risau bergegas pulang ke tanah air untuk melahirkan anak, kata aktivis kanak-kanak.

Mahkamah Tinggi baru-baru ini memutuskan bahawa wanita rakyat Malaysia boleh menurunkan kerakyatan kepada anak yang lahir di luar negara walaupun berkahwin dengan warga asing.
GEORGE TOWN:
Aktivis kanak-kanak menggesa kerajaan agar tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah baru-baru ini yang membenarkan wanita rakyat Malaysia menurunkan kerakyatan kepada anak yang lahir di luar negara.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Noor Aziah Mohd Awal berkata, beliau berharap kerajaan akan fokus kepada melaksanakan undang-undang seperti yang ditafsirkan oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, dalam hal ini, wanita Malaysia paling untung dan manfaat terbesar bagi mereka adalah kebebasan untuk berkahwin dengan warga asing tanpa perlu risau bergegas pulang ke tanah air untuk melahirkan anak.

“Keputusan itu juga sangat bermakna bagi anak-anak yang tidak mendapat kerakyatan Malaysia,” tambahnya.

Dr Hartini Zainudin daripada kumpulan aktivis Voice of the Children menyifatkan keputusan itu “satu kemenangan besar” bagi kesetaraan jantina dan hak kanak-kanak.

Katanya, bilangan kanak-kanak tanpa kerakyatan akan dapat dikurangkan dan akan ada perlindungan yang lebih baik untuk anak-anak yang dilahirkan oleh ibu-ibu dengan kerakyatan Malaysia.

“Keputusan ini mempunyai pengaruh dalam meminimumkan jurang jantina di negara kita dan menegakkan hak wanita Malaysia,” tambahnya.

Baru-baru ini, hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir berkata, perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau juga membuat beberapa relief perisytiharan seperti yang dipohon sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan enam ibu yang menegaskan peruntukan tertentu berkenaan kerakyatan dalam Perlembagaan bersifat diskriminatif, dengan berkata, seperti bapa, ibu-ibu juga mempunyai hak mengenai kerakyatan menurut kuat kuasa undang-undang dalam semua proses.

Pada Disember 2019, kerajaan mendedahkan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 111,142 permohonan kerakyatan antara 2013 dan 2018.

Jabatan berkenaan menolak 26, 222 permohonan, manakala 54,222 sedang diproses, termasuk 27,835 kes membabitkan kanak-kanak.

Peguam Andrew Khoo berkata, menteri yang memegang portfolio undang-undang sebaliknya perlu segera memperkenalkan undang-undang untuk mengabadikan tafsiran mahkamah tersebut dan mengusulkan pindaan terhadap Perlembagaan untuk membetulkan sebarang kesamaran mengenai kerakyatan.

Katanya, langkah tersebut akan menjadikan klausa kerakyatan sejajar dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, yang tidak membenarkan diskriminasi.

Kementerian Dalam Negeri dan JPN harus segera menyemak semula prosedur dalaman mereka agar tiada individu mengalami diskriminasi, tambahnya.

Srividhya Ganapathy daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO) berkata, bukti anekdot menunjukkan bahawa bayi yang dilahirkan wanita Malaysia dengan suami warga asing pada 1980-an dan 1990-an diberi kerakyatan.

Situasi ini berubah dalam tempoh tiga dekad lalu, katanya, kerana tafsiran pembuat dasar mengenai Perlembagaan telah berubah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.