
Presidennya Ismail Nasaruddin berkata, golongan anti vaksinasi mungkin mempunyai pandangan serta hak tersendiri berhubung vaksinasi Covid-19, namun penting untuk memastikan semua orang selamat ketika menaiki penerbangan.
“Pengembara terbang masuk dan keluar dari setiap negara dan semua orang perlu bekerjasama untuk mengelak jangkitan. Kita tidak tahu siapa yang mungkin dijangkiti dan membahayakan orang lain,” katanya kepada FMT.
Tambahan lagi katanya, semua kru penerbangan telah divaksin, seterusnya penumpang juga mesti berbuat demikian.
Semalam, Qantas mengesahkan larangan terhadap penumpang antarabangsa yang menaiki penerbangannya sekiranya tidak divaksin. Ini susulan langkah Australia bersedia membuka beberapa laluan antarabangsa sebelum Krismas.
Ismail berharap kerajaan akan mempertimbangkan dasar serupa segera bagi menghalang mereka yang tidak divaksin daripada menaiki penerbangan.
“Kru penerbangan bimbang dan tidak mahu dijangkiti oleh mereka yang enggan divaksin atau belum menerima dos lengkap,” katanya.
NUFAM juga akan membangkitkan isu itu dalam perbincangan dengan kesatuan penerbangan lain.
“Pengembara yang telah divaksin lengkap adalah keutamaan kami buat masa ini,” katanya.