Kumpulan pro Anwar desak projek ECRL tidak melalui HSKLU

Kumpulan pro Anwar desak projek ECRL tidak melalui HSKLU

Otai Reformis berpandangan projek ECRL perlu dikembalikan ke laluan asal seperti diputuskan kerajaan BN.

Jajaran landasan kereta api berkelajuan tinggi itu tidak boleh dibenarkan ‘membelah’ tengah-tengah Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata Otai Reformis.
PETALING JAYA:
Jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang “membelah” Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) perlu diubah selaras pewartaan semula hutan simpan itu oleh kerajaan negeri, Rabu lalu, kata kumpulan pro Anwar Ibrahim.

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, walaupun banyak pihak menyatakan kelegaan dengan keputusan kerajaan Selangor mewartakan semula HSKLU, namun kumpulan itu mendesak jajaran ECRL yang masih membabitkan sebahagian kecil kawasan berkenaan diubah.

“Ramai warga Selangor menarik nafas lega dan mengalu-alukan keputusan MB (Menteri Besar) Selangor dan membatalkan cadangan penyahwartaan (de-gazettement) kawasan hutan simpan seluas 1,326 ekar itu.

“Bagaimanapun cadangan kerajaan negeri untuk menyahwartakan sebahagian kecil kawasan hutan tersebut bagi laluan ECRL menimbulkan banyak persoalan. Mana mungkin jajaran landasan kereta api berkelajuan tinggi dibenarkan ‘membelah’ tengah-tengah hutan simpan tersebut?” katanya kepada FMT.

Katanya, jajaran ECRL yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Jenjarom yang terletak dalam persekitaran kawasan HSKLU perlu diubah.

Kumpulan itu juga bersetuju jajaran ECRL dibuat pada zaman PH diubah kembali kepada laluan yang dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak melalui kawasan hutan simpan terbabit.

“Jajaran tersebut perlu dikaji semula atau dilencong keluar dari kawasan HSKLU atau kami sarankan jajaran terbabit dikekalkan seperti dirancang dalam pelan asal,” katanya.

Katanya, jika kerajaan Selangor kekal menggunakan jajaran kerajaan PH melalui Jenjarom, ia akan merosakkan persekitaran hutan simpan terbabit, dengan kerja pembinaan landasan itu akan merosakkan tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna serta habitat semula jadinya.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, pihaknya mengalu-alukan kesediaan kerajaan Selangor mengadakan pendengaran awam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) kerana ia dapat merungkai banyak perkara.

“Ramai yang ingin mengetahui banyak perkara yang sangat meragukan dalam transaksi dan kaedah pemberian tanah kepada syarikat pemaju dan lain-lain perkara berbangkit.

Rabu lalu, kerajaan Selangor membuat keputusan untuk mewartakan kembali HSKLU. Bagaimanapun, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran ECRL.

HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di Mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Malah usaha untuk membangunkan tanah di kawasan itu dibantah hebat badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan masyarakat Orang Asli dengan mendesak ia diwartakan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.