Kontraktor terdesak rugi RM60,000 diperdaya ‘along halimunan’

Kontraktor terdesak rugi RM60,000 diperdaya ‘along halimunan’

Suspek dikatakan meminta maklumat peribadi mangsa dan bayaran pendahuluan RM30,000 konon sebagai bayaran proses permohonan yang dijelaskan mangsa pada 17 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa mendakwa dia memerlukan wang segera sebanyak RM250,000 dan berdasarkan perbincangan dengan suspek, kaedah bayaran yang dipersetujui ialah RM7,000 sebulan selama lima tahun. (Gambar AFP)
KUANTAN:
Terdesak untuk mendapatkan wang segera dipercayai menjadi penyebab seorang kontraktor bersetuju meminjam daripada syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud atau along yang mencari mangsa melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa kerugian RM60,000 yang dijelaskan kepada suspek lelaki yang menghubunginya bulan lepas, bagi menawarkan “pinjaman” itu.

“Mangsa (kontraktor) mendakwa dia memerlukan wang segera sebanyak RM250,000 dan berdasarkan perbincangan dengan suspek, kaedah bayaran yang dipersetujui ialah RM7,000 sebulan selama lima tahun.

“Suspek dikatakan meminta maklumat peribadi mangsa dan bayaran pendahuluan RM30,000 kononnya sebagai bayaran proses permohonan yang dijelaskan mangsa pada 17 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan.

Wazir berkata, suspek didakwa sekali lagi menghubungi mangsa pada minggu seterusnya memaklumkan permohonan diluluskan dan mangsa perlu menjelaskan RM30,000 lagi sebagai kos pentadbiran untuk mengkreditkan wang pinjaman ke akaunnya.

Beliau berkata, mangsa mendakwa membayar wang itu pada hari sama menerusi transaksi secara dalam talian sebanyak tiga kali namun mulai curiga apabila suspek menghubunginya semalam, meminta lagi wang kononnya sebagai upah menguruskan proses pinjaman tersebut.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.