
Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, Mohamad Hallim Jamee, 32, terpaksa diturunkan oleh anggota bomba kerana tersangkut di atas pokok selepas ditembak.
Ketua Polis Daerah Miri, Hakemal Hawari berkata, mangsa meninggal dunia serta-merta selepas ditembak lelaki berusia 70 tahun itu yang berasal dari kampung sama kerana disangkakan kera.
Beliau berkata, pihaknya meminta bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah untuk menurunkan mangsa.
“Pasukan bomba menggunakan tali khas membawa turun mangsa pada 4.40 petang dan kita menahan suspek untuk membantu siasatan.
“Anggota turut merampas selaras senapang patah dan 13 butir peluru hidup dipercayai digunakan suspek,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.