
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, keputusan itu melanggar hak wartawan dan peranan media sebagai estet keempat kerajaan.
Petugas media diberi vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Yii berkata, kebanyakan wartawan telah lengkap vaksinasi.
Beliau berkata, ada cara untuk berfungsi dengan selamat dan Parlimen harus, untuk menjadi contoh, menunjukkan kepada pelbagai sektor industri bahawa sesuatu dapat disesuaikan dengan situasi yang berubah akibat wabak.
Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada Isnin. Buat pertama kalinya, wartawan New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia dilaporkan tidak akan hadir secara fizikal untuk membuat liputan.
Hanya 16 saluran media dibenarkan untuk menghantar petugas – RTM, Bernama, jabatan penerangan kerajaan, FINAS, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban, AFP, Malaysiakini dan MalaysiaNow.
Jurucakap NST berkata, tiada alasan diberikan atas pengecualian akhbar tersebut dan ia tidak dapat menghubungi Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk mendapatkan penjelasan.
Pakar media, Gayathry S Venkiteswaran berkata, sangat menghairankan apabila Parlimen tidak memberi sebarang alasan untuk menyekat saluran media tertentu, selain menambah bahawa beliau tidak dapat melihat penjelasan yang tuntas dan masuk akal.
Gayathry, dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, individu yang telah lengkap vaksinasi kini dapat menikmati pelbagai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk sukan di kawasan tertutup dan perjalanan domestik.
“Saya tidak rasa membuat sekatan sebegini adalah tindakan yang bijak, terutamanya berikutan usaha bersepadu komuniti media untuk mendapatkan vaksin,” katanya.
“Adakah Parlimen dan ketua Parlimen mengaku bahawa mereka tidak dapat menangani SOP dengan baik?
“Sangat hipokrit untuk meminta sektor ekonomi, sekolah dan komuniti lain untuk melaksanakan dan mematuhi SOP apabila Parlimen sendiri tidak dapat menunjukkan bagaimana ia boleh dilakukan dengan selamat dan berkesan.”
Katanya, alasan pemilihan media tidak jelas, namun menambah, pengecualian NST dan Utusan sepatutnya membuat mereka berfikir tentang kekecewaan yang dialami saluran media lain atas akses terhad kepada berita.
Beliau berkata, dua saluran media ini sebelumnya menikmati kedudukan istimewa dan mungkin sudah tiba masanya mereka menyebelahi pihak komuniti media dan menuntut kebebasan media untuk semua.