
Menyebut mengenai kekurangan dana dalam kesihatan awam dan perlindungan sosial secara relatif selama puluhan tahun di negara ini, Mohamed Aslam Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, wabak Covid-19 mendedahkan kerentanan dalam kedua-dua sistem tersebut.
“Kita tak cukup berbelanja untuk sistem kesihatan awam,” katanya.
“Bahkan sebelum wabak Covid-19 melanda, walaupun terdapat doktor dan jururawat yang berdedikasi di hospital awam, kita dapat melihat barisan dan masa menunggu yang lama.”
Aslam berkata, perbelanjaan kesihatan Malaysia sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah antara 3% dan 4.2% sepanjang kira-kira 25 tahun lalu dan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan awam adalah sekitar 2%.
“Angka ini kecil berbanding jumlah yang kita belanjakan untuk pendidikan. Ramai pakar mengesyorkan angka itu digandakan kepada sekurang-kurangnya 4%,” katanya.

“Melihat kepada pentingnya sistem kesihatan awam, saya rasa ini adalah permulaan yang baik dan penting untuk memberi keutamaan kepada perbelanjaan kesihatan dalam Belanjawan 2022.”
Selain keperluan untuk membina bangunan fizikal – hospital awam, hospital daerah dan klinik kesihatan – Aslam berkata, infrastruktur harus dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan yang mencukupi.
Katanya, kakitangan adalah komponen utama lain yang perlu ditambah perbelanjaannya dan skim perkhidmatan bagi bakat dalam bidang perubatan perlu disemak semula untuk mengelak kehilangan mereka kepada hospital swasta atau luar negara, di mana gaji dan persekitaran bekerja dianggap lebih baik.
Pada pandangannya, Malaysia memerlukan pembaharuan dalam ekonomi pasaran sosial, di mana solidariti atau “menjaga semua orang” menjadi prinsip utama dengan kesihatan awam menjadi fokus perbelanjaan sosial.
Katanya, negara “sangat sedikit” berbelanja untuk sebarang jenis skim insurans sosial dengan merujuk kepada laporan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2019 yang menyatakan, 38% daripada perbelanjaan kesihatan untuk rawatan dan perkara lain datang daripada perbelanjaan secara langsung daripada poket (OOP).
“Hanya 1% (daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan rakyat) dilindungi oleh skim insurans sosial sedangkan di negara seperti Jerman yang mempromosikan ekonomi pasaran sosial, wujud skim insurans sosial yang dapat menyelesaikan 80% hingga 90% bil perubatan rakyat,” katanya.
“Di Malaysia, kita memiliki sistem kesihatan yang tidak setara – mereka yang mampu boleh mendapatkan penjagaan kesihatan swasta yang mahal, sementara sebilangan besar individu B40 (atau mungkin kini B60) tidak mampu jatuh sakit sekalipun.”
Peningkatan liputan insurans sosial mungkin bermaksud potongan pendapatan bulanan lebih tinggi bagi pekerja, katanya, namun “ketakutan” mengenai kekurangan pendapatan bulanan ini dapat ditangani dengan mempertimbangkan kaedah lain untuk membiayai insurans sosial.
Katanya, terdapat sekurang-kurangnya tiga sumber dana untuk mewujudkan skim insurans sosial yang berkesan.
Selain daripada dibiayai sendiri, skim ini dapat disubsidi oleh kerajaan atau dibiayai oleh wakaf atau agensi lain yang mampu, terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan.
“Kategori terakhir ini adalah sesuatu yang harus diberi lebih perhatian,” katanya.
“Selain mengkaji bagaimana negara lain yang berjaya seperti Jerman membiayai skim insurans sosial, kita boleh belajar daripada sejarah bagaimana wakaf dapat membiayai (penjagaan) kesihatan dengan sangat berkesan.”