Sukan premis tertutup dibenarkan bagi individu divaksin penuh di negeri Fasa 1

Sukan premis tertutup dibenarkan bagi individu divaksin penuh di negeri Fasa 1

Bagaimanapun, gimnasium masih belum diberi kebenaran buat masa ini.

Perdana menteri mengumumkan fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi hanya untuk pelanggan yang lengkap divaksin. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Individu yang telah menerima vaksin lengkap kini dibenarkan melakukan aktiviti sukan tertutup di negeri serta wilayah dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Jumaat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, gimnasium masih belum diberikan kebenaran beroperasi.

“Fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin,” kata Ismail dalam kenyataan.

“Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP.”

Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berjanji “berita baik” untuk mereka yang gemar bersukan akan diumumkan tidak lama lagi, beberapa jam selepas Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu menggesanya membenarkan aktiviti sedemikian dibenarkan.

Khairy berkata, garis panduan pengudaraan (ventilation) buat gimnasium akan dirangka bersama KKM dan MKN.

“Ini tidak akan mengambil masa yang lama. Namun oleh sebab persekitaran pusat kecergasan tertutup (indoor fitness centres), kami harus menekankan beberapa keperluan pengudaraan tertentu,” katanya di Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.