SPRM tahan CEO, 3 pegawai kanan GLC disyaki seleweng dana RM2.2j

SPRM tahan CEO, 3 pegawai kanan GLC disyaki seleweng dana RM2.2j

Kesemuanya ditahan selepas hadir untuk memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah petang tadi.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi esok, bagi permohonan reman.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua pegawai eksekutif dan tiga pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana berjumlah RM2.2 juta.

Memetik laporan Berita Harian, sumber berkata, empat pegawai berusia antara 49 hingga 58 tahun terbabit ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah di sini, petang tadi.

Katanya, empat pegawai kanan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan kedudukan bagi menyeleweng dana milik syarikat antara tahun 2016 sehingga 2019.

“Siasatan awal mendapati CEO bersama tiga lagi pegawai kanan syarikat terbabit menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menyalurkan sejumlah dana syarikat yang dianggar bernilai RM2.2 juta ke dalam dua syarikat.

“Kesemua suspek disyaki mempunyai kepentingan dalam dua syarikat berkenaan. Berikutan itu, mereka ditahan antara jam 3.45 petang hingga 4.15 petang tadi selepas hadir memberi keterangan,” katanya.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi esok bagi permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.