Selangor setuju warta semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Selangor setuju warta semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang hari ini.

PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor membuat keputusan untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Selangor akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

Amirudin bagaimanapun memaklumkan hanya 104 ekar (42.08 hektar) daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar (536.7 hektar) kawasan terbabit akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006 selepas dipindah dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

Amiruddin berkata, kawasan gantian yang diwartakan sebagai seluas 1,436 ekar (581 hektar) di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

“Sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, kerajaan negeri akan menulis surat kepada speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini,” katanya

Exco Alam Sekitar, Hee Loy Sian sebelum ini berkata, kerajaan Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar hutan berkenaan untuk dibangunkan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Malah usaha untuk membangunkan tanah kawasan tersebut dibantah hebat NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli dengan mendesak supaya hutan tersebut diwarta kembali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.