Selangor ke Fasa 2 PPN Jumaat ini, selepas KL dan Putrajaya

Selangor ke Fasa 2 PPN Jumaat ini, selepas KL dan Putrajaya

Hanya Kedah dan Johor yang masih di bawah Fasa 1 PPN.

Individu lengkap divaksin dibenarkan merentas daerah di seluruh Lembah Klang yang akan beralih ke Fasa 2 PPN mulai Jumaat ini.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Selangor akan bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Jumaat ini.

Ini menjadikan seluruh Lembah Klang akan beralih ke Fasa 2 dan hanya berbaki Kedah serta Johor masih di bawah Fasa 1 PPN.

Ismail berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan sama.

“Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi
sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Ismail, berkata dengan peralihan fasa itu beberapa kelonggaran diberikan sama seperti negeri lain sebelum ini yang telah beralih lebih awal.

Ini termasuk rentas daerah dibenarkan bagi individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin, selain pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin turut dibenarkan merentas negeri.

“Ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun. ‘Dine-in’ dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin.

“Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama yang melibatkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ bagi individu yang telah lengkap dua dos,” katanya.

Katanya,kerajaan juga bersetuju membenarkan sektor perdagangan dan pengedaran, perniagaan kedai bunga, nurseri, kedai peralatan ‘outdoor’ dan galeri perumahan beroperasi mulai 10 September bagi negeri Fasa 1.

“Bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, ‘hairdresser’, dan salon kecantikan dibenarkan.

“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.