‘Kemenangan kecil’ untuk pekebun durian Raub

‘Kemenangan kecil’ untuk pekebun durian Raub

Mahkamah Rayuan arahkan semakan kehakiman keputusan usir 204 pekebun Musang King didengar di Mahkamah Tinggi.

Sebahagian pekebun durian terlibat di luar Mahkamah Tinggi Kuantan pada prosiding sebelum ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakiman oleh 204 pekebun durian Musang King di Raub terhadap notis pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang.

Peguam Siew Choon Jern berkata, panel tiga hakim diketuai Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan rayuan pekebun berkenaan untuk izin meneruskan prosiding itu kerana permohonan mereka bukanlah semberono.

“Mahkamah turut membenarkan perintah penangguhan pelaksanaan untuk mengekalkan status quo sementara ia diselesaikan di Mahkamah Tinggi,” kata Siew yang hadir bersama Brendan Navin Siva.

Hakim M Nantha Balan dan Darryl Goon Siew Chye bersidang bersama Mohamad Zabidin.

Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 22 Sept.

Pada 5 Jan, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan interim sehingga rayuan ini didengar.

Susulan perintah hari ini, pekebun berkenaan boleh terus mengusahakan tanah itu tanpa gangguan pihak berkuasa.

Pada 23 Dis, hakim Mahkamah Tinggi Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan izin untuk membuat semakan kehakiman terhadap notis pengusiran yang dikeluarkan kepada pekebun terlibat oleh kerajaan negeri.

Perintah pengusiran itu dikeluarkan pada 21 Dis manakala mereka diarahkan mengosongkan tanah berkenaan sebelum 4 Jan.

Zainal Azman berkata, notis itu tidak boleh disemak semula oleh mahkamah, manakala pekebun terlibat adalah penceroboh, seterusnya tiada hak dari segi undang-undang.

Pekebun terbabit memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap perintah kerajaan negeri itu yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau, meliputi keluasan 2,167ha.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain perintah untuk mengosongkan tanah berkenaan mengikut Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahukan perintah berhubung keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberi pajakan dan hak penggunaan kebun tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu semakan keputusan pemberian sub-pajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.