Pahang tunggu ‘lampu hijau’ buka pelancongan domestik sepenuhnya

Pahang tunggu ‘lampu hijau’ buka pelancongan domestik sepenuhnya

Exco negeri Sharkar Shamsudin berkata, buat masa ini sebahagian daripada sektor pelancongan domestik di Pahang sudah dibuka sejak awal bulan ini.

Exco Pahang Sharkar Shamsudin mengingatkan semua pemain industri pelancongan supaya terus mematuhi SOP bagi mengelakkan risiko operasi dihentikan jika tercetus kluster berkaitan aktiviti pelancongan di kawasan terbabit.
KUANTAN:
Kerajaan Pahang sedang menunggu “lampu hijau” daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kebenaran membuka sepenuhnya sektor pelancongan domestiknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Sharkar Shamsudin berkata, buat masa ini sebahagian daripada sektor pelancongan domestik di Pahang sudah dibuka kepada penduduk tempatan sejak awal bulan ini.

Beliau mengingatkan semua pemain industri pelancongan supaya terus mematuhi SOP bagi mengelakkan risiko operasi dihentikan, jika tercetus kluster berkaitan aktiviti pelancongan di kawasan terbabit.

“Saya minta mereka yang terbabit dalam sektor ini tidak kiralah pekerja restoran atau resort, untuk mengambil vaksin dan ini penting bagi memastikan sektor pelancongan dapat beroperasi seperti biasa secepat mungkin,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada wakil Persatuan Pemandu Pelancong Kuantan dan Cherating.

Ketika ini, lima lokasi tumpuan pelancong di Pahang yang mencapai status imuniti berkelompok sudah dibuka semula, iaitu Bukit Fraser di Raub, Pulau Tioman di Rompin, Taman Negara di Jerantut serta Genting Highlands dan Janda Baik di Bentong.

Sementara itu Sharkar berkata, kerajaan negeri menyalurkan kira-kira RM500,000 bagi membantu pemain industri pelancongan sejak awal tahun ini, termasuk orang perseorangan dan persatuan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.