Krisis Aminuddin-PKR N Sembilan: ‘Kami serah pada Anwar selesaikan,’ kata ADUN

Krisis Aminuddin-PKR N Sembilan: ‘Kami serah pada Anwar selesaikan,’ kata ADUN

ADUN Ampangan, Rafie Abdul Malek berkata kemelut politik yang melanda negeri itu hanya membabitkan dalaman PKR, dan sama sekali tidak menyentuh mengenai pentadbiran kerajaan negeri.

Ketidakpuashatian ketika ini berpusat kepada kedudukan Aminuddin sebagai pengerusi PKR negeri kerana gagal mengukuhkan akar umbi menjelang pilihan raya umum akan datang, kata ADUN.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR Negeri Sembilan menegaskan tidak ada cubaan menumbangkan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar, sebaliknya mahukan campurtangan Anwar Ibrahim untuk memastikan pimpinan parti yang ‘lemah’ di peringkat negeri diperbaiki.

“Kita serah pada presiden (Anwar) (untuk) menilai. Saya tahu presiden akur dan faham masalah yang ada, dan presiden akan buat keputusan. Saya terima hakikat memang ada masalah tetapi bagaimana nak selesaikan masalah yang berbangkit,” kata Rafie Abdul Malek, yang juga merupakan ADUN Ampangan dan EXCO kerajaan negeri.

Rafie antara pemimpin PKR negeri yang dikaitkan dengan kenyataan mahu Aminuddin diganti sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, dan mendesak rombakan dilakukan dalam MPN dengan segera bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Timbalan Ketua Cabang Seremban itu menegaskan kemelut politik yang melanda negeri itu hanya membabitkan dalaman PKR, dan sama sekali tidak menyentuh pentadbiran kerajaan negeri.

“Kalau nak sentuh kerajaan negeri dari awal maknanya nak tumbangkan Aminuddin, kita boleh buat usaha itu tetapi tidak. Kita tidak buat dan jelas tidak ada usaha dan undi percaya dibuat dalam sidang DUN terhadap beliau.

“Jelas, ini masalah dalam parti. ‘Kelemahan dalaman parti’ itu tafsiran pelbagai orang, namun sebahagian besar kata ia ‘lemah’. Jadi macam mana kita nak tengok atau perbetulkan keadaan,” katanya yang menyifatkan krisis dalaman lumrah dalam sesuatu organisasi.

Rafie mendedahkan ketidakpuashatian ketika ini berpaksi kepada prestasi Aminuddin sebagai Pengerusi PKR negeri.

“Antara lain, beliau dituduh gagal mengukuhkan akar umbi parti menjelang PRU15 akan datang. Saya lihat ketidakpuashatian berpusat pada kedudukan Aminuddin sebagai pengerusi PKR negeri, kerana cabang tak bergerak, mesyuarat tak buat.

“Mereka (pengkritik) memikirkan sesuatu perlu dilakukan dan PKR harus diaktifkan semula di semua cabang. Jadi fokus sekarang adalah parti, tak sentuh langsung mengenai kerajaan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.