
Presiden Warisan itu berkata, mengadakan undi percaya di Parlimen adalah urusan kerajaan, bukannya mereka.
“Apa yang kita sedia maklum, semasa berada di Istana Negara, Tuanku memaklumkan kaedah dan cara pelantikan perdana menteri kesembilan, iaitu menerusi SD (akuan bersumpah).
“Selepas itu, Tuanku memanggil semua yang memberi sokongan, 100 lebih (Ahli Parlimen) untuk bertanya lebih lanjut mengenai keredaan mereka dan sebagainya. Seterusnya, baginda ada bertitah supaya perdana menteri yang dilantik segera mengabsahkan kedudukannya, selain daripada itu, saya tidak tahu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, lebih penting sekarang ialah semua pihak bergerak ke hadapan dan tidak terlalu fokus berpolitik.
“Ia adalah PM dan kerajaan untuk buktikan dia ada nombor (sokongan Ahli Parlimen), tetapi apa yang penting, mari kita bergerak ke hadapan, kita banyak sangat berpolitik.
“Bagaimanapun, keadaan ini juga harus menjadi satu peringatan, bila ada prosedur kita harus patuhi, kita mahu ketelusan dan keyakinan daripada rakyat, jangan hari ini kita cakap lain, tetapi esok tak boleh buat, susah pula nanti.
“Yang penting bagi kita, kalau mahu dapatkan keyakinan itu, buatlah dan lepas itu fokus untuk mentadbir kerajaan. Saya hanya nyatakan berpandu kepada apa yang dititahkan Tuanku di Istana, saya tidak mahu dengar tekanan-tekanan dari sana sini, itu bukan kita, ia urusan kerajaan dan Tuanku sudah bertitah.”
Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, parti itu akan melancarkan kerjasama secara rasmi dengan MUDA dalam masa terdekat.
Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada gerakan parti yang sebelum ini memutuskan untuk melebarkan sayap mereka ke Semenanjung.
“Kita mempunyai tokoh-tokoh yang menjadi penaja kita di kawasan-kawasan tertentu (di Semenanjung) dan ini bagi memastikan Warisan sebagai parti pelbagai bangsa, bukan sebagai parti berdasarkan satu-satu bangsa, agama dan kaum.
“Warisan perjuangkan untuk semua, ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan ini juga berlaku di banyak negara seperti UK ada parti Buruh dan Konservatif, di Amerika Syarikat ada Demokrat dan Republikan, semuanya parti yang bukan berdasarkan satu bangsa.
“Kadang-kadang jika berasaskan satu bangsa, ia akan menimbulkan perpecahan, perbalahan dan ketidaksatuan, banyak kita dengar perbalahan mengenai bangsa dan agama, kita tidak mahu semua ini berlaku, Warisan bergerak ke hadapan sebagai parti berbilang bangsa.”