
Perunding perancang pengangkutan itu berkata, beliau tidak melihat sebarang penambahbaikan terhadap sektor berkenaan sejak 17 bulan lalu sekali gus gagal memacu sektor ekonomi.
“Isu berkaitan pengangkutan dianggap sebagai aktiviti yang memacu ekonomi terutama dari segi logistik dan mod trafik penumpang,” katanya.
Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap pelantikan semula Wee Ka Siong sebagai menteri pengangkutan yang tidak menangani isu dihadapi ketika memegang portfolio sama di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Jika sebuah pasukan bola sepak gagal memenangi sebarang perlawanan, saya mengharapkan supaya satu pasukan baharu dibentuk. Jurulatih dan kapten juga perlu digantikan. Ia tidak akan mengubah strategi permainan sekiranya mereka terus dikekalkan dan keputusannya akan tetap sama,” katanya.
Lapangan terbang Kulim bukan keutamaan
Rosli mengulas salah satu masalah besar yang tidak ditangani, iaitu berkenaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah yang dijangka menelan belanja kira-kira RM1.6 bilion dalam fasa pertama pembinaannya.
KXP yang kali pertama dirancang pada 2014 dikatakan akan menjadi sebagai lapangan terbang utama bagi menampung keperluan penumpang dan kargo serta mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“Saya tidak rasa ia perlu dijadikan keutamaan buat masa sekarang. Sektor pengangkutan udara menunjukkan perkembangan yang negatif sejak dua tahun lalu akibat pandemik,” katanya.
Katanya, malah sekarang juga kerajaan tidak melakukan apa-apa mengenai projek berkenaan dan kerajaan negeri Pulau Pinang meminta penjelasan sama ada pembinaan lapangan terbang itu telah diluluskan.
“Ia mungkin tidak memberi kesan besar sekiranya projek ini ditangguhkan untuk beberapa tahun lagi sehingga permintaan terhadap pengangkutan udara kembali stabil,” kata Rosli.
Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 perlu diteruskan
Rosli berkata, kerajaan perlu mengutamakan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) yang masih berdepan pertikaian undang-undang selepas kontraknya ditamatkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Projek itu membabitkan dua landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) sejauh 110 kilometer (km), iaitu laluan dari Salak South ke Seremban dan satu lagi antara KL Sentral dan Angkasapuri ke Pelabuhan Klang.
Katanya, terdapat keperluan untuk menyokong pergerakan penumpang memandangkan terdapat penurunan jumlah penumpang sejak 2015 apabila projek KVDT bermula.
“Akibat kerja pembinaan terdapat penurunan dari segi kapasiti perkhidmatan serta kelewatan yang menyebabkan ramai penumpang bertukar kepada mod pengangkutan lain,” katanya.
Katanya, penangguhan projek terbabit mencetuskan kesesakan jalan yang teruk apabila penumpang pengangkutan rel kini menaiki kereta.
“Ia menyebabkan banyak masalah berkaitan aliran trafik sehingga jalan terpaksa diperbesarkan bagi menambah kapasiti baharu dengan perbelanjaan yang terlalu tinggi,” katanya.
“Sebenarnya kerajaan kita gagal untuk meneliti isu-isu ini dan pelantikan orang yang sama tidak akan mengubah keadaan menjadi lebih baik,” tambahnya.