Disyaki ‘songlap’ wang syarikat RM4 juta, pembantu akaun direman

Disyaki ‘songlap’ wang syarikat RM4 juta, pembantu akaun direman

Suspek wanita yang diberikan kuasa menguruskan akaun syarikat dipercayai melakukan beberapa transaksi membabitkan wang milik syarikat ke dalam akaun peribadinya.

Suspek wanita itu memegang jawatan sebagai eksekutif sumber manusia dan pembantu akaun syarikat. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu akaun sebuah syarikat pembinaan di Taman Dagang Permai, Ampang Jaya, direman empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes pecah amanah wang syarikat sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM4 juta.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Esha, berkata suspek wanita itu yang mempunyai akses ke atas akaun syarikat berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan.

Farouk berkata, pada November 2020, pengadu iaitu pengarah syarikat pembinaan berkenaan mendapati wang milik syarikat diambil seorang perempuan warga tempatan yang merupakan pekerja syarikat, juga suspek utama dalam kes ini.

“Suspek memegang jawatan sebagai eksekutif sumber manusia dan pembantu akaun syarikat. Pengadu sedar wang syarikatnya makin berkurang di dalam akaun dan mengesyaki keraninya.

“Beberapa transaksi telah dilakukan oleh suspek ke dalam akaun peribadinya secara berperingkat dalam anggaran kerugian RM4 juta,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, suspek mempunyai akses ke atas akaun bank milik syarikat kerana pengadu telah cuti sakit sejak Januari 2018 hingga Jun 2020 dan tiada individu lain mempunyai akses ke atas akaun milik syarikat berkenaan.

Katanya, siasatan awal turut mendapati terdapat akaun bank RHB milik suspek yang digunakan untuk tujuan pemindahan wang syarikat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda serta sebat.

“Kes masih dalam siasatan polis untuk dilengkapkan dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.