Bantu peniaga kecil antara isu bakal dibincang MPN, kata Muhyiddin

Bantu peniaga kecil antara isu bakal dibincang MPN, kata Muhyiddin

Semua hal berkaitan pemulihan negara akan dibincangkan dalam mesyuarat itu dan tarikhnya dijangka ditetapkan dalam tempoh seminggu akan datang.

Muhyiddin meninjau medan selera serta aktiviti perniagaan di sekitar Taman Tasik Sri Rampai, Setapak Jaya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Langkah-langkah bagi membantu kelompok peniaga kecil adalah antara perkara yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) nanti.

Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata, semua perkara berkaitan pemulihan negara dari aspek “keseluruhan masyarakat” (whole of society) dan “keseluruhan kerajaan” (whole of government) akan dibincangkan dan beliau menjangka tarikhnya mungkin ditetapkan dalam tempoh seminggu akan datang.

“Sebagai pengerusi MPN saya akan pastikan sektor dan peniaga kecil ini terus dibantu dalam setiap perancangan kerajaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau medan selera serta aktiviti perniagaan di sekitar Taman Tasik Sri Rampai, Setapak Jaya, yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.

Muhyiddin sebelum ini mempengerusikan mesyuarat MPN sebagai perdana menteri sebelum meletakkan jawatan pada 16 Ogos. Pada Sabtu lepas Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan beliau sebagai pengerusi MPN susulan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Sept.

Muhyiddin berkata, langkah sewajarnya akan diambil dalam tempoh setahun dua akan datang supaya negara kembali pulih dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain seperti keadaan sebelum kemunculan pandemik Covid-19.

“Sebagai pengerusi MPN, tumpuan kita bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar tetapi juga sektor-sektor informal dan kecil-kecilan… meskipun kerajaan sudah banyak berikan bantuan, namun ia pastinya tidak dapat menampung perbelanjaan mereka setiap hari sekiranya mereka tidak beroleh pendapatan daripada perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, tinjauannya terhadap aktiviti peniaga kecil di kawasan itu mendapati mereka kelihatan ceria dan semakin ramai yang sudah mula meniaga sekali gus menandakan proses pemulihan ekonomi negara sudah bermula dan semakin jelas.

“Saya rasa sukacita kerana saya tanya pendapatan mereka tadi, ada dapat RM200 ke RM300 sehari, ada yang peroleh RM3,000 ke RM4,000 sebulan dan mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk meniaga.

“Langkah yang diambil di Wilayah Persekutuan ini amat baik bagi membantu peniaga kecil-kecilan bangun semula dan memperoleh pendapatan untuk menyara kehidupan mereka… zaman orang susah jangan kenakan apa-apa bayaran, tidak apa kerajaan rugi sedikit,” katanya.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 Nov tahun lepas bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.