
Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, mereka juga mahu polis menyiasat 10 exco Selangor itu atas dakwaan tanah seluas 536.7ha itu ditawarkan pada harga di bawah pasaran.
“RM3 satu kaki persegi sahaja? Harap polis segera siasat semua 10 exco kerajaan Selangor yang luluskan pemberian tanah HSKLU seluas 536.7ha dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lalu,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan bahawa laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam semalam.
Beliau turut membandingkan harga tanah HSKLU yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran tanah Cyberjaya yang terletak hanya 500m dari HSKLU di seberang Lebuhraya Elite, iaitu RM110 satu kaki persegi.
Razak berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat selepas melengkapkan beberapa dokumen.
Sebelum ini, Exco Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dilaporkan berkata, kerajaan negeri bersetuju menyahwartakan tanah seluas 536.7ha di HSKLU untuk dibangunkan dalam mesyuarat exco Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.
HSKLU yang terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat diwartakan pada 13 Mei 1927. Ia mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor awal tahun lalu.
Usaha membangunkan tanah itu dibantah NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli yang mendesak ia diwartakan kembali.
Susulan tekanan itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa isu HSKLU ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 8 Sept ini.