
Bagi menjayakan usaha itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, kerajaan negeri, NGO, persatuan pengilang dan perniagaan perlu dilibatkan dalam mengenal pasti lokasi sesuai untuk mewujudkan pusat kuarantin swasta seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) di Kuala Lumpur.
“Pusat kuarantin ini boleh diwujudkan di ruang kilang kosong yang tidak beroperasi, hotel bajet tutup kerana tiada perniagaan, bangunan komersial kosong, malah dewan orang ramai, bergantung kepada keadaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun kes pesakit Covid-19 yang serius dilaporkan menurun kerana ramai individu sudah divaksin, tetapi negara masih merekodkan purata 20,000 kes Covid-19 dan 300 kematian setiap hari sejak dua bulan lalu.
Malah katanya, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 menjalani kuarantin di rumah juga dikesan antara punca jangkitan Covid-19, khususnya bagi pesakit B40 serta pekerja asing yang tinggal di kediaman sesak.
“Ramai pekerja sektor perkilangan dan pembinaan yang dijangkiti Covid-19 adalah pekerja asing yang duduk bersama rakan sekerja mereka di rumah yang sesak.
“Keadaan ini menyumbang kepada kewujudan kluster Covid-19 di beberapa tempat di Lembah Klang. Ia juga menyebabkan kes Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur selalu berada di tahap tinggi.”
Kok berkata, KKM harus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk mengadakan dialog bersama syarikat serta pengilang swasta yang mencatatkan kes Covid-19 tinggi dengan menubuhkan pusat kuarantin sementara bagi pekerja asing yang dijangkiti virus itu di tempat kerja mereka.
Selain itu katanya, kerajaan pusat juga boleh menawarkan potongan cukai kepada penderma untuk inisiatif tersebut.
“Saya menyeru KKM dan Majlis Keselamatan Negara melibatkan sektor swasta dan persatuan tempatan dalam usaha mencegah penyebaran Covid-19, khususnya di Lembah Klang supaya kes Covid-19 yang tinggi boleh diturunkan secepat mungkin.”
Semalam, Malaysia merekodkan 20,396 kes baharu Covid-19 dan 336 kes kematian.