JPJ ganti lesen percuma mangsa banjir di Yan

JPJ ganti lesen percuma mangsa banjir di Yan

Pemilik dokumen perlu terlebih dahulu buat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen dan hadir sendiri bawa dokumen yang rosak, kata JPJ.

Inisiatif penggantian dokumen JPJ secara percuma bagi mangsa banjir di Yan akan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 18 Sept. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian dokumen penting jabatan itu seperti Lesen Memandu Malaysia (LLM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) secara percuma kepada mangsa banjir di Yan.

Menurut ciapan JPJ di Twitter, gantian dokumen menerusi inisiatif “touch point” jabatan itu khusus untuk semua mangsa banjir di lokaliti tersebut yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen penting berkenaan semasa bencana itu melanda.

Katanya, inisiatif berkenaan akan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 18 Sept.

“Pemilik dokumen harus membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen dan perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana kaunter JPJ negeri atau cawangan di Kedah,” katanya.

JPJ juga akan memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan kepada mangsa banjir sehingga bencana itu terkawal sepenuhnya.

“Bagi menyokong usaha kerajaan menangani fenomena banjir di kawasan terkesan ini juga, JPJ akan selalu bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur gerak aset JPJ jika diperlukan.

“Pihak JPJ dan seluruh warga kerja juga mendoakan agar semua mangsa banjir diberi kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.