Serah diri atau diburu, timbalan menteri beritahu pengikut ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’

Serah diri atau diburu, timbalan menteri beritahu pengikut ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan semua pengikut PMYT bertindak segera dan memberi kerjasama.

Wanita dikenali dengan nama ‘Sittah Annur’ ditahan untuk membantu siasatan, semalam.
PETALING JAYA:
Pengikut “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir” (PMYT) yang didakwa ajaran sesat diminta menyerah diri secara suka rela jika tidak mahu menjadi buruan polis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata mereka yang terlibat diseru memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

“Polis sudah mula menjalankan siasatan terhadap PMYT, jadi saya nasihatkan kepada semua pengikut dia supaya serah diri dengan segera. Kita sedang bekerjasama dengan polis dalam menyelesaikan kes ini.

“Terlebih dahulu, kita akan tengok pada hasil penyiasatan polis. Setakat yang saya tahu, kes ini tidak luas dan hanya membabitkan satu kelompok kecil,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Ahmad Marzuk yang ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menghantar wakil untuk membantu penyiasatan itu.

“Pertama, kita sudah ada pasukan khas JAKIM bawah bahagian penguatkuasaan dan kedua, kita juga ada bahagian kepakaran untuk meneliti ajaran PMYT. Soal ajaran yang dikatakan sesat ini, kita kena tengok hasil siasatan polis dulu.

“Kita juga bersedia untuk memberi khidmat kaunseling kepada pengikut ajaran berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan ketua ajaran PMYT yang digelar “Sittah Annur” ditahan reman selama empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membawa ajaran sesat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.