Peniaga diberi seminggu untuk patuh harga kit ujian kendiri, kata menteri

Peniaga diberi seminggu untuk patuh harga kit ujian kendiri, kata menteri

Alexander Nanta Linggi berkata pemantauan akan dilakukan tanpa denda dan sekadar peringatan diberikan bagi tempoh berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi memeriksa kit ujian kendiri di sebuah farmasi di Kuching. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan peniaga tempoh seminggu mulai hari ini untuk mematuhi harga maksimum RM19.90 bagi kit ujian pantas antigen Covid-19.

Menterinya Alexander Nanta Linggi berkata pasukan penguat kuasa akan melakukan pemantauan tanpa mengeluarkan denda, sebaliknya memberi peringatan kepada peniaga supaya mematuhi arahan penjualan harga maksimum berkuat kuasa hari ini.

“KPDNHEP akan beri tempoh seminggu untuk peniaga membuat penyesuaian harga kit ujian tersebut.

“Ini bermakna kita juga prihatin terhadap peniaga tetapi penjualan itu harus mematuhi harga maksimum ditetapkan yang bermula hari ini,” katanya dipetik Bernama selepas membuat pemeriksaan harga kit tersebut di sebuah farmasi di sini, hari ini.

Selain itu, Nanta berkata KPDNHEP juga akan membuat pemeriksaan terhadap pemborong untuk memastikan harga maksimum RM16 dipatuhi kerana ia turut diwartakan.

Katanya, kegagalan peniaga dan pemborong mematuhi harga maksimum itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat, boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu, berhubung harga maksimum ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang dilakukan di klinik, Nanta berkata KPDNHEP sedang menunggu nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta akan melakukan perbincangan dengan wakil industri untuk pelaksanaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.