Jabatan Peguam Negara jangan jadi punca ketegangan kerajaan-institusi raja, kata Warisan

Jabatan Peguam Negara jangan jadi punca ketegangan kerajaan-institusi raja, kata Warisan

Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman berkata Agong sudah bertitah supaya pelantikan perdana menteri diabsahkan segera di Parlimen.

Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman berkata tiada apa perlu ditakuti perdana menteri sekiranya undi percaya dibuat, kecuali berlaku masalah tidak diketahui umum.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara diingatkan tidak menjadi punca ketegangan hubungan antara kerajaan dan institusi raja apabila menyatakan tiada keperluan mengabsahkan pelantikan perdana menteri baharu di Parlimen, kata Warisan.

Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman, berkata kejadian ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang mengabaikan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka semula dan Ordinan Darurat dibahas, tidak sepatutnya berulang.

Katanya, ketegangan hubungan itu sesuatu yang tidak baik untuk negara ketika masih bergelut dengan wabak Covid-19.

“Nasihat saya kepada Jabatan Peguam Negara supaya tidak menjadi punca ketegangan antara kerajaan dan institusi raja kerana Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah supaya pelantikan perdana menteri diabsahkan segera di Parlimen.

“Baginda hanya minta apa yang termaktub dalam perlembagaan dipatuhi, kenapa Jabatan Peguam Negara cuba menidakkan titah baginda.

“Ikutlah apa yang sudah dititahkan baginda, hormatilah institusi raja,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada keperluan mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dan kerajaan yang sudah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Peguam Negara, Idrus Harun, berkata ini kerana pelantikan Ismail diperkenankan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain Yang di-Pertuan Agong, ini bermakna kuasa mutlak baginda boleh diatasi pihak lain,” katanya dalam kenyataan.

Azis berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan perdana menteri sekiranya undi percaya dibuat, malah beliau yakin Ismail akan memenanginya, kecuali jika parti gabungan kerajaan berdepan masalah tidak diketahui umum.

“Pergolakan politik dalam negara kita kebelakangan ini bukan disebabkan blok pembangkang, tetapi hubungan mereka (parti kerajaan).

“Ini yang menyebabkan ketidakstabilan sehingga berlaku huru-hara politik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, berkata undi percaya perlu dibuat bagi memenuhi harapan rakyat susulan titah Agong supaya ia dilaksanakan segera.

“Saya tahu Tun Dr Mahathir Mohamad (pengerusi Pejuang) ada pandangan berbeza, beliau sudah buat kenyataan undi percaya tidak perlu dibuat.

“Tetapi saya membaca kenyataan pelbagai pihak termasuk pakar perundangan yang menyatakan apabila baginda dengan jelas bertitah melalui kenyataan rasmi bahawa sesiapa juga dilantik perdana menteri perlu segera mendapat keabsahan di Dewan Rakyat, ia menimbulkan satu harapan dalam kalangan rakyat.

“Rakyat berharap undi percaya dibuat kerana ia dititahkan Yang di-Pertuan Agong, bukannya orang biasa,” katanya.

Mukhriz berkata, soal mengabsahkan kedudukan perdana menteri sebenarnya tidak membabitkan pembangkang, sebaliknya beban pembuktian berada di pihak parti kerajaan.

Katanya, apabila terdapat banyak kenyataan daripada pihak kerajaan menolak undi percaya, ia membawa maksud ada kebimbangan sokongan 114 Ahli Parlimen yang diterima perdana menteri tidak kukuh.

“Adakah Ismail Sabri risau jumlah 114 Ahli Parlimen yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong beliau sudah terhakis. Ini yang menjadi persoalan sekarang,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.