
Pusat Pendidikan Bagi Pasaran (CME) berkata, peningkatan had hutang berisiko memberi beberapa ‘kesan negatif tidak diduga’ didorong pinjaman tambahan.
Ini termasuk hutang tambahan dialihkan kepada generasi masa depan, bukan sahaja dari sudut wang, malah juga matawang lebih rendah selain peluang kerja yang kurang, kata ketua pegawai eksekutif CME Carmelo Ferlito.
Selain itu, ia juga mampu menjejaskan lagi kredibiliti Malaysia serta keyakinan pelabur, selain mengehadkan pelaburan swasta.
Tambahan permintaan untuk dana hutang boleh pinjam pula mungkin melonjakkan kadar faedah dan melemahkan pelaburan swasta, serta mengehadkan pertumbuhan dan kewujudan peluang pekerjaan, katanya.
“Sejarah ekonomi turut mengajar kita bahawa sesebuah kerajaan jarang menggunakan sumber secara cekap atau berkesan demi kebaikan umum.
“Justeru, kita sepatutnya berhati-hati memberikan sumber tambahan,” katanya dalam kenyataan.
Ferlito juga berkata, lebih baik pendapatan Putrajaya dijana tanpa kesan negatif tidak diduga bagi tempoh panjang.
Selain pembukaan semula ekonomi, kerajaan sepatutnya boleh memotong cukai korporat sebanyak 1%.
“Mereka juga boleh memperkenalkan program fiskal khusus bagi perniagaan mikro, seperti dilaksanakan di Indonesia.
“Ini akan menggalakkan perniagaan mikro memasuki ekonomi formal dengan membayar cukai rata yang rendah,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mencadangkan had statutori hutang ditingkatkan kepada 65% daripada 60% berbanding Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, walaupun hutang statutori berbanding KDNK ketika ini pada paras 58%, memandangkan komitmen kerajaan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, hutang berbanding KDNK mungkin meningkat melebihi 60% menjelang hujung tahun ini.