
Diam tak diam telah 27 hari penyanyi terkenal tanah air Siti Sarah Raissuddin meninggalkan kita akibat jangkitan Covid-19.
Berat mata memandang, berat lagi rasa rindu yang perlu ditanggung keluarga terutama suami arwah, Shuib Sepahtu dan anak-anak.
Menerusi laporan portal Ohbulan, dalam video pendek terbaharu yang dikongsi di Instagram Shuib, buat sekian kalinya dia dilihat menziarahi pusara isteri tersayang.
Shuib yang mengenakan baju melayu dan kopiah berwarna hitam menziarahi Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak tempat bersemadinya isteri tercinta, Siti Sarah.
Pun begitu keterangan gambar yang ditulis ringkas, sudah cukup menyentuh perasaan sesiapa saja yang membacanya.
‘Boleh jumpa, cuma lain suasana.’
Biar lengkap dengan pelitup muka, sekilas pandangan di mata Shuib jelas terpancar rasa rindu yang mendalam terhadap isteri tersayang.
Menjenguk di ruang maklum balas, pelbagai reaksi dikongsi pembaca. Rata-rata warganet termasuk rakan artis turut sama berduka dan mendoakan moga Shuib dan anak-anak dikurniakan ketabahan untuk melalui hari-hari mendatang.
Sehingga artikel ini disiarkan, video yang dikongsi di Instagram @shuibsepahtu tersebut telah meraih 1.3 juta tontonan dengan lebih 9,000 komen.
“Moga roh allahyarham ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aamiin.” demikian doa ikhlas seorang pembaca.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]