
Juara dunia enam kali itu berkata beliau menghantar pesanan ringkas kepada Chong Wei yang juga ketua kontinjen Malaysia bagi Olimpik Tokyo, mengenai rasa gementarnya dan tekanan yang dihadapi di gelanggang.
Beliau berkata Chong Wei telah memberinya pelbagai nasihat termasuk untuk melakukan yang terbaik, lapor Persekutuan Badminton Antarabangsa.
Chong Wei yang sebelum ini tiga kali merangkul pingat perak di Sukan Olimpik, menasihatkannya bahawa tekanan dihadapi memang hebat kerana “semua orang akan bergantung kepada saya.”
“Beliau berkata, mereka mahukan saya mencapai hasil terbaik. Lee mengingatkan saya supaya berseronok dan melakukan yang terbaik ketika di Perkampungan Atlet Paralimpik,” katanya.
Liek Hou kemudian mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei atas nasihat itu selain mendedikasikan kemenangannya kepada semua rakyat Malaysia.
“Sudah pasti ini memang saat yang indah.”
Liek Hou melakar sejarah Sukan Paralimpik sebagai pemenang sulung pingat emas badminton selepas mengalahkan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi hari ini.
Atlet berusia 33 tahun itu mengalahkan pemain nombor satu dunia itu 21-17, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit.