
Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu lalu.
Zuki yang juga setiausaha Jemaah Menteri berkata, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Katanya, pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhyiddin Yassin di atas pelantikan ini,” katanya menurut laporan Bernama.
MPN ditubuhkan Julai lalu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.
Ia dianggotai wakil sektor swasta, pakar industri, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman serta nasihat dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik secara sistematik dan selamat.