KPT rancang buka IPT mulai Okt, kata menteri

KPT rancang buka IPT mulai Okt, kata menteri

Noraini Ahmad berkata rancangan itu adalah melalui PEMULIH IPT dan langkah tersebut selari dengan usaha membolehkan pelajar pulang ke IPT apabila semuanya lengkap divaksin.

Noraini Ahmad berkata satu perjumpaan bersama Khairy Jamaluddin diadakan bagi mencadangkan supaya pelajar dan kakitangan IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pembukaan semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dirancang bermula Oktober ini, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya Noraini Ahmad berkata, rancangan itu adalah melalui Pelan Pemulihan IPT (PEMULIH IPT) dan langkah tersebut selari dengan usaha membolehkan pelajar pulang ke IPT apabila semuanya lengkap divaksin, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri pada 22 Ogos lalu.

Katanya, perkara itu juga telah dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin.

Beliau berkata, satu perjumpaan bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin diadakan petang semalam bagi mencadangkan supaya pelajar dan kakitangan IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin di lokaliti masing-masing.

“Panjang lebar perbincangan kami petang tadi (semalam) dan matlamat kami adalah sama untuk menyediakan komuniti kampus yang selamat menjelang Oktober nanti,” katanya di Facebook.

Noraini berkata, KPT mengunjurkan keperluan sebanyak 1.296 juta dos vaksin bagi 648,000 pelajar yang masih belum menerima vaksin dan KPT mencadangkan supaya pusat pemberian vaksin IPT dijadikan PPV khusus untuk pelajar serta kakitangannya.

Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan program vaksinasi pelajar dilaksana secara besar-besaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.