Enggan bentang undi percaya bermakna Ismail takut bayang-bayang sendiri, kata Ahli Parlimen PKR

Enggan bentang undi percaya bermakna Ismail takut bayang-bayang sendiri, kata Ahli Parlimen PKR

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata Ismail akan menanggung kerugian jika enggan membentangkan usul percaya terhadapnya di Dewan Rakyat sebagaimana dititah Agong.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata keabsahan Ismail Sabri Yaakob akan terus dipersoalkan jika usul percaya tidak dibentangkan terhadapnya.
PETALING JAYA:
Ismail Sabri Yaakob akan dilihat sebagai perdana menteri yang takut dengan bayang-bayang sendiri jika enggan menguji keabsahannya di Parlimen, kata seorang pemimpin PKR.

Hassan Abdul Karim, yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, berkata Ismail sendiri akan menanggung kerugian jika enggan membentangkan usul percaya terhadapnya di Dewan Rakyat sebagaimana dititah Agong.

“Keabsahannya akan terus dipersoalkan seperti nasib malang yang pernah menimpa Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin.

“PM ke-9 ini akan dilihat sebagai pemimpin yang takut dengan bayang-bayang sendiri jika beliau enggan membentangkan Undi Percaya terhadap dirinya,” kata Hassan.

Menurut Hassan, kenyataan Peguam Negara Idrus Harun membayangkan Ismail tidak perlu memperolehi keabsahan di Parlimen menerusi undi percaya bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mahukan perdana menteri membentangkan undi percaya di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Parlimen akan bersidang pada 13 September.

“Kenyataan dari Peguam Negara dilaporkan berkata bahawa undi percaya Perdana Menteri boleh jejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong (sendiri).

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan Peguam Negara tersebut. Bagi saya, kenyataan YDPA itu adalah jelas dan nyata,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Ismail menolak pandangan Idrus dan sebaliknya menghormati titah Agong agar “dapat membentuk satu konvensyen yang kukuh dari segi Perlembagaan.”

“Kerajaan baru di bawah pimpinan PM ke-9 ini akan kelihatan kukuh dan berwibawa jika ia dapat melepasi ujian undi percaya apabila sidang parlimen bermula.

“Maka tidak wajar dan tidak ada alasan untuk perdana menteri takut dan bimbang membentangkan (undi) percaya yang… telah diusulkan oleh YDPA,” katanya.

Sebelum itu, Idru berkata, pelantikan Ismail sebagai perdana menteri oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menepati segala peruntukan perlembagaan.

Justeru, katanya, sekiranya pelantikan itu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan, mahukan perdana menteri kesembilan yang dilantik untuk segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau.

Bagaimanapun, setakat ini, usul undi percaya berkenaan tidak disenaraikan sebagai atur cara pada sesi parlimen akan datang.

Ismail dilantik perdana menteri pada 21 Ogos lalu, beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada beliau, sekali gus menyebabkannya kehilangan sokongan majoriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.