Lesen hilang, rosak akan diganti percuma bagi mangsa banjir di Kedah, kata Wee

Lesen hilang, rosak akan diganti percuma bagi mangsa banjir di Kedah, kata Wee

Bagaimanapun penggantian secara percuma hanya akan diberikan selepas mangsa membuat laporan polis.

Pada 18 Ogos lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak taman perumahan di sekitar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mangsa banjir di Yan dan Merbok, Kedah akan dikecualikan bayaran untuk menggantikan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang hilang atau rosak dalam bencana itu.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, kelonggaran itu sudah dimaklumkan kepada cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan terbabit.

“Ramai kata kerana banjir berlaku, mereka hilang lesen kenderaan motor, lesen memandu, jadi pihak pengurusan kementerian setuju beri pengecualian bayaran gantian lesen baharu.

“Mungkin mangsa terlibat ada tempoh enam bulan lagi, jadi kita ganti baharu secara percuma,” katanya pada sidang media sempena tinjauan operasi kaunter pandu lalu JPJ di Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun jelasnya, mangsa banjir yang mahu berbuat demikian perlu mengemukakan laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen terbabit sebelum membuat penggantian.

“Mereka kena buat laporan polis, mereka tak boleh kata mangsa banjir sahaja, kena ada laporan polis,” katanya.

Pada 18 Ogos, lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak taman perumahan di sekitar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.