
Beliau yang sedih dengan kejadian itu berkata, semua pihak tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.
“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga Thava Sagayam. Keadilan harus ditegakkan, tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang. Terima kasih YB di atas keprihatinan,” katanya dalam catatan Twitter.
Beliau merujuk Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran yang berterima kasih kepadanya kerana bersuara berhubung nasib keluarga pengawal keselamatan berkenaan.
Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Kula, naib pengerusi DAP itu, atas keprihatinannya terhadap keluarga mendiang.
Dua hari lalu, Kula dilaporkan berkata, perdana menteri menghubungi anak saudara Thava melalui telefon dan “menyatakan perasaan rakyat Malaysia”.
Perdana menteri turut berusaha menghubungi balu Thava, E Philomena, tetapi masih tidak berkesempatan.
Terdahulu, Kula berkata, DAP akan memberikan bantuan guaman kepada keluarga mendiang selepas Philomena meminta bantuan parti itu untuk mendapatkan keadilan buat suaminya.

Thava dilaporkan diserang sehingga tidak sedarkan diri kerana enggan membenarkan anak lelaki suspek menggunakan kolam renang yang ditutup ketika itu.
Thava kemudiannya dimasukkan ke hospital dan menjalani lapan pembedahan di kepala. Beliau meninggal dunia di rumahnya di Ipoh Jumaat lalu.
Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh susulan kematian Thava, dengan suspek berkemungkinan menghadapi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Suspek sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Jan lalu mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan sebutan semula kes ditetapkan 9 Sept ini.