Gergasi teknologi minta pengecualian kabotaj daripada PM

Gergasi teknologi minta pengecualian kabotaj daripada PM

Google, Microsoft dan Facebook adalah antara syarikat teknologi yang mengatakan peralihan dasar akan memberi manfaat besar kepada negara dan ekonomi.

Kerajaan terdahulu menarik balik pengecualian kabotaj atas alasan perlu mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing untuk melakukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan kabel dasar laut.
PETALING JAYA:
Google, Microsoft, Facebook dan beberapa gergasi teknologi menulis surat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob meminta dasar pengecualian kabotaj dikembalikan.

Menurut sumber, syarikat teknologi itu menulis surat kepada Ismail awal minggu ini berhubung perkara itu.

Tahun lalu, pentadbiran Muhyiddin Yassin membatalkan pengecualian kabotaj, yang membenarkan kapal asing melakukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan kabel dasar laut dengan sekatan minimum.

Pengecualian itu pada awalnya dibenarkan bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook, susulan permintaan beberapa syarikat telekomunikasi. Objektifnya untuk mengurangkan masa yang diambil untuk membaiki kabel di perairan Malaysia, dengan masa tindak balas antara paling lambat di rantau ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong membatalkan pengecualian itu atas alasan Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing dan menggalakkan penyertaan industri perkapalan tempatan.

Persatuan Pengendali Internet Malaysia (MyIX) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia berkata, pembatalan pengecualian kabotaj itu antara sebab Facebook dan kabel dasar laut terbaharu Google di rantau ini mengelakkan Malaysia sepenuhnya.

Kini, syarikat teknologi itu berusaha mengembalikan dasar berkenaan.

“Kali terakhir, mereka menulis surat kepada Muhyiddin tetapi tidak berhasil, sekarang mereka berharap Ismail akan mempertimbangkan permintaan mereka,” kata sumber itu.

“Dalam surat itu, mereka menyentuh manfaat pengecualian kabotaj kepada negara dan ekonomi. Mereka juga berkata ia sejajar agenda MyDigital kerajaan.”

Salah satu matlamat MyDigital adalah menarik lebih banyak syarikat memasang kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Tidak diketahui jika perkara itu sudah dibincangkan Kabinet. Bagaimanapun, ahli ekonomi berkata, kerajaan baharu mesti mengembalikan semula pengecualian kabotaj.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.