Lebih 300 keluarga terjejas banjir kilat di JB

Lebih 300 keluarga terjejas banjir kilat di JB

Antara kawasan terjejas termasuk Skudai, Pasir Gudang dan Masai.

Anggota bomba membantu memindahkan pasangan warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Skudai, Batu 10, Kampung Laut, Skudai. (Gambar Bomba)
JOHOR BAHRU:
Lebih 300 keluarga terjejas selepas beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi.

Antara kawasan terjejas termasuk Skudai, Pasir Gudang dan Masai.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Faisal Ismail berkata, pihaknya menyelamatkan satu pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap dalam banjir di rumah mereka di Kampung Laut, Skudai selepas menerima laporan kejadian tersebut pada 5.36 pagi.

Susulan itu katanya, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kita dapati paras air di lokasi dianggarkan hampir satu meter. Kita memindahkan pasangan suami isteri dan dihantar ke Surau Batu 10 bagi penempatan sementara.

Pasangan tersebut Said Ahmad, 67, dan isteri, Kamariah Kanto selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi menyelamat dan pemindahan mangsa lain sedang dilakukan sehingga kini.

Sementara itu di Pasir Gudang, seramai 24 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dengan dua jentera FRT dan satu EMRS turun ke tiga kawasan banjir di Kampung Bukit Pulai, Taman Pasir Putih dan Kampung Sentosa Barat.

Komander Operasinya, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.14 pagi dan mendapati banjir kilat berlaku dengan kedalaman kira-kira satu meter.

“Air telah surut dan tiada operasi menyelamat atau pemindahan mangsa banjir dilakukan. Pemantauan dan rondaan di lokasi berisiko banjir akan sentiasa dibuat,” katanya yang menambah operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.19 pagi tadi.

Di Masai, 300 keluarga melibatkan lima kawasan terjejas teruk akibat banjir kilat pada awal pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Che Zakaria Mohd Salleh berkata, hujan lebat sejak tengah malam mengakibatkan Kampung Sepakat, Kampung Masjid, Sungai Masai, Desa Bakti dan Jalan Masai ditenggelami air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.