
Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata, semua kawasan terjejas ekoran henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih itu menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.
“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan.
Loji rawatan Sungai Semenyih ditutup pada 11.10 pagi kelmarin selepas pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Antara kawasan yang terjejas bekalan air akibat kejadian itu termasuk Hospital Serdang dan Hospital Universiti Putra Malaysia serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Terdahulu, Air Selangor juga telah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat dengan 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas.