2 remaja antara 6 ditahan leka guna M16, AK-47 tiruan

2 remaja antara 6 ditahan leka guna M16, AK-47 tiruan

Kesemua suspek berumur 14 hingga 39 tahun itu ditahan pada 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan.

Siasatan awal polis mendapati suspek membeli senjata tiruan itu pada harga RM200 hingga RM500 dalam talian sejak dua bulan lalu. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Dua remaja antara enam lelaki ditahan bersama 11 laras senapang tiruan dan 14 kelopak peluru ketika menyertai aktiviti permainan menembak di sebuah kilang padi terbiar di Kampung Buluh Poh, Ketereh, dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abd Rahim Daud berkata kesemua mereka yang berumur 14 hingga 39 tahun itu ditahan pada 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

“Ketika serbuan, didapati kesemua mereka sedang melakukan aktiviti permainan menggunakan senjata tiruan, peluru bebola plastik dan peralatan lain.

“Susulan itu, empat lelaki dewasa direman dua hari, manakala dua remaja berusia 14 dan 15 tahun dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, siasatan awal mendapati mereka memperoleh senjata tiruan itu melalui pembelian dalam talian sejak dua bulan lepas.

Beliau berkata, semua senjata termasuk model M16 dan AK-47 itu dibeli pada harga RM200 hingga RM500, bergantung kepada model.

Katanya, siasatan turut mendapati semua suspek mempunyai pertalian saudara dan kenalan rapat serta menjadikan senjata tiruan itu sebagai “aktiviti permainan” dan latihan.

“Apa yang pasti, senjata yang dirampas ini hampir menyamai senjata sebenar termasuk saiz dan reka bentuknya.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak memiliki senjata tiruan seperti ini kerana dikhuatiri disalahgunakan untuk perkara tidak baik seperti menyamun ataupun membuat ugutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.