
Katanya, arahan divaksin tertakluk kepada pihak atasan dan semua anggota perlu mematuhinya kerana ia membabitkan penugasan.
“Vaksinasi membabitkan penugasan. Kalau dia tidak vaksin, bagaimana mahu bertugas dalam kelompok lain?
“Kalau dia gagal atau menolak, maknanya dia tidak mematuhi arahan pihak atasan. Dalam tentera, wajib patuhi arahan berkenaan. Kalau dia tidak boleh patuh, boleh memohon untuk diberhentikan,” katanya dipetik Berita Harian ketika menghadiri satu program di Kota Bharu.
Abu Hasan berkata, tiada isu enggan divaksin di bawah Markas 8 Briged yang merangkumi Kelantan dan Terengganu, dengan semua anggotanya sudah menerima vaksin Covid-19.
Pada 23 Ogos lalu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.
Ini kerana kata TDM, setiap anggotanya wajib mengambil vaksin itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.
Sarjan Wan Ramli Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan selepas ingkar arahan menerima vaksin.
Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.
Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain dilaporkan berkata, tindakan itu tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya dibuat mengikut peraturan demi menjamin keselamatan semua pihak.
Katanya, keputusan menamatkan perkhidmatan anggota itu dibuat kerana enggan divaksin, termasuk sesi kaunseling beberapa kali gagal mengubah pendiriannya.