
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berkata, menjadi kesalahan mengikut akta berkenaan apabila seseorang berkongsi kandungan yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam.
Katanya, orang ramai dinasihatkan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Bagi ajaran sesat dalam negara, kita boleh ambil tindakan berdasarkan peraturan sedia ada.
“Apa juga ajaran sesat dalam negara, kita akan ambil tindakan berdasarkan laporan. Kita juga sedang bincang kemungkinan memadam kandungan berkenaan dari media sosial.
“Contohnya kalau ajaran itu disebarkan dalam Facebook, kementerian perlu mendapat kebenaran Facebook, begitu juga Youtube dan lain-lain,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas laporan dibuat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) susulan aduan diterima berhubung ajaran PMYT lebih tiga minggu lalu.
Pengarahnya, Mohd Yusop Husin sebelum ini mengesahkan laporan berkenaan dibuat kira-kira tiga minggu lalu termasuk satu laporan kepada SKMM.
Dalam laporan sejak Ahad lalu, akhbar itu menyiarkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.
Justeru Zahidi berkata, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membuat laporan kepada SKMM bagi membolehkan tindakan segera diambil.