
Dalam pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang hari ini, had umur 21 tahun untuk menjadi ADUN diturunkan kepada 18 tahun, selepas mendapat sokongan dwipartisan dalam DUN dengan 40 kerusi itu.
Ia membabitkan pindaan Perkara 12 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang berkaitan syarat menjadi ADUN.
Pindaan itu diusulkan Soon Lip Chee (PH-Bagan Jermal), yang berkata, Pulau Pinang akan menjadi negeri ketujuh selepas Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Perak yang membenarkan individu berusia 18 tahun dan ke atas bertanding dalam pilihan raya.
Akan tetapi katanya, hanya dua negeri – Sabah dan Perak – menguatkuasakan undang-undang untuk menurunkan had umur kepada 18 tahun. Beliau tidak menyatakan bila undang-undang itu akan berkuat kuasa di Pulau Pinang.
Soon berkata, di Pulau Pinang, tinjauan dilakukan pejabatnya menunjukkan 65% atau 2,261 responden menyokong langkah menurunkan had umur itu, manakala 35% atau 1,214 responden membantahnya.
Tinjauan dalam talian itu diadakan antara Disember dan Jun yang disertai 3,475 responden berusia 15 hingga 35.
Memetik Jabatan Perangkaan yang menyatakan 35% atau 624,000 daripada 1.77 juta populasi di negeri itu berusia 15 hingga 34 tahun Soon berkata, adalah penting golongan itu diberikan peluang untuk mengambil peranan aktif dalam politik Pulau Pinang.
“Langkah ini juga akan membawa kita setara dengan negara lain seperti Australia, Kanada dan United Kingdom yang membenarkan individu berusia 18 tahun ke atas bertanding dalam pilihan raya.”
Dalam laporan baru-baru ini yang memetik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 5.6 juta pengundi berusia 18 tahun ke atas yang belum mendaftar sebagai pemilih dan 1.2 juta daripada jumlah itu berusia 18 hingga 20 tahun.
Ketika perbahasan mengenai undang-undang baharu itu, Daniel Gooi (PH-Pengkalan Kota) berkata, lebih ramai belia perlu digalakkan mendaftar sebagai pengundi kerana lima juta orang gagal berbuat demikian.
Katanya, perkataan seperti “atuk” dan “cucu” digunakan dalam Dewan Rakyat untuk mendiskriminasi wakil rakyat lebih muda disebabkan umur mereka.
Gooi berkata, peraturan mesyuarat lebih ketat perlu dilaksanakan di DUN Pulau Pinang untuk melarang kenyataan menyinggung perasaan berkaitan umur atau jantina.
Satees Muniandy (PH-Bagan Dalam) bersetuju dengan Gooi dan berkata, “anak muda” dan kenyataan merendah-rendahkan orang lain perlu dilarang dalam DUN.
Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu memastikan “generasi TikTok” dididik mengenai demokrasi berparlimen sebelum mereka menyertai politik.
Ketua Pembangkang negeri, Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) menyambut baik langkah menurunkan had umur itu dengan berkata,Nabi Muhammad meletakkan kepercayaan kepada belia untuk menjadi leftenannya sepanjang hidupnya.
Jagdeep Singh Deo (PH-Dato Keramat) menceritakan pengalaman peribadinya ketika berusia 17 tahun dengan melihat mendiang bapanya, Karpal Singh Deo, menjadi tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sudah dimansuhkan.
“Saya berusia 17 tahun dan tiada cara untuk menyertai politik ketika itu. Saya sedang belajar undang-undang dan apabila kembali untuk menemuinya, beliau sudah digari di katilnya di Hospital Taiping.
“Ketika itu, semangat saya berkobar-kobar dan mahu menyertai politik, tetapi tidak boleh kerana belum berusia 21 tahun.
“Ini sebabnya menurunkan had umur adalah langkah yang dialu-alukan. Pemikiran lebih muda akan membawa kita lebih jauh.”
Faiz Fadzil (PH-Permatang Pasir), Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) dan Lee Chun Kit (PH-Pulau Tikus) turut serta dalam perbahasan itu.