
Bekas pengerusi SPAN Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang berkata, mengganggu kawasan itu untuk pembangunan hartanah akan membawa akibat buruk, seterusnya menggesa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membatalkan keputusan itu.
“Selangor sudah pun berdepan pelbagai cabaran berkaitan sumber airnya, dengan margin rizab yang terhad, gangguan yang kerap akibat kejadian pencemaran dan kemerosotan sumber air.
“HSKLU menyimpan lebih 15 bilion liter air dalam tanah gambutnya, selain aliran air bawah tanah dan air permukaan di kawasan berdekatan. Projek dirancang itu akan menggugat sepenuhnya fungsi yang amat penting ini,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, orang ramai masih tidak maklum sepenuhnya mengenai pembangunan yang dirancang itu kerana penilaian kesan alam sekitar atau kajian kebolehlaksanaan tidak didedahkan.
“Dalam pada seluruh dunia berusaha membaiki keadaan selepas wabak Covid-19, namun Selangor pula seolah-olah mahu melakukan sebaliknya.”
Pada Isnin, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan, kerajaan negeri bersetuju menyahwartakan 536.7ha HSKLU untuk pembangunan semula.
Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata, kawasan yang dipersetujui untuk dibangunkan adalah 54% daripada 931.16ha yang dicadangkan lebih awal.
Katanya, 42.1ha daripada tanah diluluskan itu akan diberikan kepada syarikat swasta, Gabungan Indah Sdn Bhd, untuk pembangunan bercampur.
Sementara itu, seorang lagi bekas anggota SPAN Faizal Parish dalam sidang media sama berkata, tanah gambut di kawasan yang dinyahwartakan adalah sumber berharga karbon dioksida yang akan dilepaskan sekiranya projek itu diteruskan.
Faizal yang juga pengarah Global Environment Centre mengingatkan mengenai azam Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% berbanding tahap pada 2005 sebagai satu “komitmen penting”, namun ia adalah sesuatu yang hanya boleh dicapai dengan melindungi hutan serta tanah gambut.
“Apa yang kita lihat di sini adalah bertentangan dengan strategi karbon rendah. Kita mengambil ekosistem semula jadi, iaitu simpanan karbon (dioksida) paling penting dan berkesan di dunia di dalam tanah gambut dan akan melepaskan semua karbon (dioksida) ini.
“Kami menjangkakan sekitar 3.2 juta tan karbon dioksida akan dilepaskan jika pembangunan kawasan ini diteruskan.”
Beliau turut mempertikaikan dakwaan bahawa pembangunan itu tidak akan menjejaskan masyarakat Orang Asli kerana golongan itu tidak tinggal di kawasan terbabit.
Katanya, walaupun ramai Orang Asli telah dipindahkan ke pinggir kawasan rizab, namun kebanyakan kawasan itu tetap hak mereka, malah masih bergantung kepada sumber asli hutan untuk makanan, air dan bekalan lain.