Bayaran Fasa 1 BKC 6 Sept

Bayaran Fasa 1 BKC 6 Sept

Proses pengkreditan Bantuan Khas Covid-19 dijangka selesai pada 10 September.

Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan kerajaan pada 28 Jun lalu. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Bayaran Fasa 1 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) membabitkan dana berjumlah RM3.1 bilion akan bermula pada 6 September.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya pada 10 September.

“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran bantuan ini (BKC) dan saya sudah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan bayaran kepada penerima.

“Bantuan ini sangat penting kerana ia akan memberi manfaat kepada 10 juta penerima yang terdiri daripada golongan miskin tegar serta pemohon dari kategori B40 dan M40 yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Dana bagi pengagihan BKC ini sudah diluluskan hari ini dan disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan kerajaan pada 28 Jun lalu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan komited dan akan terus peka dengan keluhan rakyat bagi memastikan kesejahteraan ‘Keluarga Malaysia’ dapat dicapai sebaik mungkin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.