
Bonnie, pemenang pingat emas kategori lelaki 72kg acara powerlifting dengan angkatan 228kg, yang juga merupakan rekod baharu Paralimpik, berkata sudah lebih setahun beliau tidak pulang ke kampungnya di Serian, Sarawak.
Ini kerana beliau perlu menjalani latihan secara kuarantin mengikut gelembung sukan di ibu negara bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.
Ditanya mengenai perancangan untuk hadiah kemenangan bernilai RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Bonnie berkata beliau belum memikirkannya.
“Hadiah tersebut tak tahu lagi nak buat apa, kena tanya ayah saya,” jawabnya dengan ringkas selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Bonnie merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya selain jurulatih kebangsaan Jamil Adam yang membimbingnya sehingga bergelar juara Paralimpik.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang doakan kejayaan saya, keluarga dan semua pihak yang membantu saya. Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64. Demi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Yee Khie yang meraih perak kategori 107kg menerusi angkatan seberat 237kg, turut berterima kasih kepada Jamil yang merencana strategi dan membantunya meningkatkan jisim otot untuk bertanding di kategori tersebut.
“Pada temasya Rio 2016, saya menamatkan saingan di tempat ketujuh kategori 97kg. Kemudian jurulatih suruh membina otot, nampak ada kemajuan dan boleh bersaing untuk pingat pada kali ini.
“Selepas ini saya nak balik kampung (Kuching, Sarawak), sebab lama tak balik. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, selamat Hari Kebangsaan,” katanya.