Keputusan memalukan, pembatalan kemenangan Ziyad dikecam

Keputusan memalukan, pembatalan kemenangan Ziyad dikecam

Khairy Jamaluddin sertai warganet kecam keputusan batalkan kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Ziyad pada mulanya diisytiharkan pemenang pingat emas sebelum keputusan itu dibatalkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin mengecam keputusan membatalkan kemenangan lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli atas sebab teknikal selepas atlet paralimpik itu meraih rekod dunia dalam acara berkenaan di Tokyo.

Mengulas pengumuman keputusan rasmi Sukan Paralimpik itu, Khairy menyifatkan keputusan berkenaan sebagai “memalukan” dan bertentangan dengan semangat temasya sukan berkenaan.

“Ini keputusan memalukan yang terang-terangan bertentangan dengan semangat Paralimpik,” katanya dalam hantaran di Twitter.

“Jika setakat pelanggaran ‘call room’ sepatutnya mereka tidak dibenarkan bertanding dari awal lagi. Jahat dan remeh. Pingat emas dan rekod dunia yang dicuri,” katanya yang kini menyandang jawatan Menteri Kesihatan.

Astro Arena melaporkan pembatalan Ziyad itu susulan protes daripada atlet Ukrain selepas acara itu selesai, bahawa beliau antara tiga individu yang lambat memasuki ‘call room’ sebelum acara bermula.

Atlet Ukraine itu, Maksym Koval kemudian diberikan pingat emas.

Pasukan Malaysia telah merayu terhadap keputusan itu yang sedang dibincangkan pihak berkuasa temasya itu. Keputusan dijangka diperoleh lewat malam ini, kata Astro Arena.

Warganet turut menyuarakan kekeliruan dan rasa berang dengan pembatalan kemenangan Ziyad itu dengan menegaskan beliau tidak patut menyertai acara berkenaan dari awal sekiranya benar telah melanggar peraturan.

Mereka turut mempertikaikan kenapa Maksym hanya memprotes selepas acara itu berakhir, dan bukan dari awal.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas menteri belia dan sukan turut mengkritik keputusan itu sebagai memalukan dan mengecewakan.

“Kenapa benarkan Ziyad bertanding selepas pelanggaran peraturan ‘call room’ itu? Ini tidak boleh diterima,” soalnya di Twitter.

Atlet gimnastik Farah Ann Abdul Hadi turut menyelar keputusan itu di Twitter.

“Ini sungguh tidak adil, sungguh tidak profesional dan melanggar semangat kesukanan,” katanya.

Pengguna Twitter @pudynzayn menyokong keputusan kontinjen Malaysia untuk merayu terhadap pembatalan itu.

“Kita perlu melawan. Emas kita, maruah kita. Saya harap keadaan memihak kepada Ziyad. Ini usaha kerasnya selama empat tahun,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata pasukan Malaysia masih membincangkan perkara itu dengan delegasi teknikal.

“Masih dalam perbincangan antara Technical Delegate dengan tiga negara yang ‘counter protest’ Ukraine iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.