Bicara Guantanamo tak bermula lancar, peguam suspek pengganas persoal kualiti jurubahasa

Bicara Guantanamo tak bermula lancar, peguam suspek pengganas persoal kualiti jurubahasa

Para peguam mendakwa, jurubahasa Indonesia yang disediakan pihak tentera AS tidak bersikap saksama dan tidak mahir dalam Bahasa Inggeris.

(Dari kiri) Mohammad Nazir Lep, Mohd Farik Amin dan Hambali tidak digari tetapi dikawal ketat ketika hadir pada perbicaraan, menurut laporan.
PETALING JAYA:
Hari pertama perbicaraan dua suspek pengganas rakyat Malaysia dan seorang warga Indonesia di sebuah mahkamah tentera di Stesen Tentera Laut Amerika Syarikat Teluk Guantanamo, Cuba tidak berjalan begitu lancar apabila peguam mereka mempersoalkan keneutralan dan kualiti jurubahasa asing yang disediakan pihak tentera AS.

Peguam Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Amin, bersama Encep Nurjaman, warga Indonesia yang dikenali sebagai Hambali, menyatakan kekecewaan terhadap kualiti jurubahasa ketika perbicaraan bermula, menurut portal berita Indonesia, BenarNews.

Wartawan portal menonton perbicaraan berkenaan dari jarak jauh di sebuah pangkalan tentera dekat Washington, menerusi kemudahan yang disediakan Pejabat Suruhanjaya Tentera AS.

Laporan itu, yang diterbitkan awal pagi ini, berkata ketiga-tiga suspek, yang disyaki terlibat dalam pengeboman di Bali pada 2002 dan di Jakarta setahun kemudian, berjanggut, memakai pelitup muka, serta berbaju dan seluar berwarna hitam atau putih.

Walaupun suspek tidak digari, mereka dikawal ketat, menurut laporan berkenaan.

Peguam Hambali, James Hodes, berpendapat bahawa jurubahasa Indonesia berkenaan harus dikeluarkan daripada kes kerana dakwanya, jurubahasa tidak bersikap saksama.

“Jurubahasa Indonesia telah membuat kenyataan bahawa suspek-suspek ini adalah pengganas dan harus dibunuh.

“Itu salah satu sebabnya,” kata Hodes kepada hakim.

Menurut laporan itu lagi, hakim tentera, Hayes Larsen, menjawab dengan berkata: “Ini bukan harinya untuk itu.”

Hodes kemudian meminta prosiding dirakam dan dicatatkan dalam rekod.

“Saya boleh memberikan telefon bimbit saya dan mereka dapat memulakan rakaman,” katanya kepada hakim.

Laporan itu berkata, peguam Farik, Christine Funk, menyatakan kekecewaannya mengenai terjemahan ketika perbicaraan bermula.

Jurubahasa tidak mahir berbahasa Inggeris tetapi “dipaksa mendengar dua bahasa”, kata Funk.

Hakim kemudian meminta para peguam untuk memberi respons dengan perlahan agar mahkamah dapat memperoleh tafsiran yang tepat.

“Saya ingin memastikan tertuduh faham semua yang terjadi,” kata Larsen.

Sebelumnya, tidak lama selepas prosiding dimulakan, hakim bertanya kepada semua suspek sama ada mereka berpuas hati dengan perwakilan undang-undang mereka.

Hambali, yang dituduh mendalangi pengeboman sebuah kelab malam di Bali yang mengorbankan 202 orang, meminta agar seorang peguam Indonesia dimasukkan ke dalam pasukan pembelaannya.

“Saya ingin diwakili oleh peguam Indonesia,” katanya melalui jurubahasa.

Perbicaraan sepatutnya berlangsung pada Februari tetapi ditangguhkan atas kebimbangan mengenai wabak Covid-19.

Pada Januari 2021, lapan hari selepas Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, Pejabat Suruhanjaya Tentera mengumumkan bahawa tiga suspek akan didakwa di hadapan tribunal tentera.

Kes terhadap ketiga-tiga lelaki itu adalah yang pertama di Guantanamo dalam tempoh tujuh tahun, menurut laporan berita.

Menurut satu laporan, mereka adalah antara baki 39 tahanan yang berada dalam penjara di dalam pangkalan Tentera Laut AS itu.

Pada kemuncak perang AS melawan keganasan yang menyusuli serangan 9/11 oleh Al-Qaeda di New York dan Washington, penjara tentera itu menahan hampir 800 suspek pengganas dari seluruh dunia.

Hambali diberkas di Thailand pada Ogos 2003 bersama Nazir dan Farik.

Menurut siasatan AS, mereka dihantar ke lokasi rahsia yang dikendalikan melalui rangkaian penjara antarabangsa CIA sebelum dipindahkan ke penjara di Teluk Guantanamo pada September 2006.

Hambali, yang digelar “Osama Asia Tenggara”, berdepan lapan tuduhan keganasan berkait pengeboman di Bali, semntara Nazir dan Falik berdepan sembilan tuduhan.

Tuduhan-tuduhan tersebut tidak membawa hukuman mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.