RCI siasat kehakiman selaras Perlembagaan, kata peguam

RCI siasat kehakiman selaras Perlembagaan, kata peguam

Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat klip video melibatkan peguam V K Lingam pada 2008 mengemukakan beberapa cadangan melibatkan proses pelantikan hakim.

Tangkap layar video yang diambil secara rahsia oleh Loh Gwo Burne menunjukkan V K Lingam berbual dalam telefon bersama seseorang, dikatakan Fairuz Abdul Halim. RCI telah diadakan susulan pendedahan klip video itu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) boleh diadakan untuk menyiasat mana-mana institusi awam termasuk badan kehakiman, tanpa menggugat doktrin pengasingan kuasa, kata seorang peguam pakar Perlembagaan.

Bastian Pius Vendargon berkata, ini dapat dilihat dalam Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang membolehkan tribunal diwujudkan untuk menyiasat perlakuan atau pengurusan sebarang institusi awam.

“RCI boleh diwujudkan untuk menyiasat campur tangan oleh pihak tertentu atau golongan Eksekutif. Ini termasuk siasatan terhadap salah laku etika hakim yang tidak lagi memegang jawatan mereka,” katanya.

Vendargon mengulas pandangan peguam Philip Koh bahawa sebarang desakan untuk RCI dibentuk bagi menyiasat campur tangan dalam badan kehakiman tidak wajar dilakukan.

Koh berkata, badan kehakiman adalah ciri asas dalam Perlembagaan dan cabang penting dalam sistem pengasingan kuasa.

Bagaimanapun, Vendargon berkata prosedur yang dinyatakan dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan boleh diguna pakai, contohnya mewujudkan tribunal untuk menyingkirkan hakim yang masih berkhidmat.

Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan bersetuju dengan cadangan Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk mewujudkan RCI bagi menyiasat dakwaan bekas peguam negara Tommy Thomas mengenai campur tangan Eksekutif dalam pelantikan hakim kanan ketika Pakatan Harapan berkuasa.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah turut mencadangkan, sekiranya RCI dibentuk ia juga patut menyiasat dakwaan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, bahawa pegawai kanan kehakiman mencampuri beberapa keputusan penghakiman.

Vendargon berkata, pada 2007, kerajaan menubuhkan RCI selepas pendedahan klip video menunjukkan peguam V K Lingam membincangkan pelantikan hakim kanan yang “mesra” dengan Barisan Nasional.

“Tribunal itu menghasilkan laporan yang mencadangkan pihak berkuasa bertindak terhadap beberapa individu serta memperketatkan proses pelantikan hakim,” katanya.

Video itu yang dirakam secara rahsia oleh bekas Ahli Parlimen Kelana jaya Loh Gwo Burne pada Disember 2001, didakwa menunjukkan Lingam membuat perjanjian dengan Ahmad Fairuz Abdul Halim berkaitan pelantikan bekas ketua hakim negara itu.

Fairuz menjadi ketua hakim dari 2003 hingga 2007.

Dalam laporannya pada 2008, RCI diketuai bekas ketua hakim Malaya Haidar Mohamed Noor memutuskan klip video itu tulen dan Lingam memang orang yang dilihat berbincang dengan Fairuz berhubung pelantikan hakim lain.

Suruhanjaya itu turut mencadangkan tindakan sewajarnya diambil terhadap enam individu kerana salah laku, iaitu Lingam, Fairuz, bekas ketua hakim negara Mohamed Eusoff Chin, ahli perniagaan Vincent Tan, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Adnan Tengku Mansor yang ketika itu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiada tindakan diambil terhadap mereka, kecuali Lingam yang dilarang mengamalkan undang-undang oleh Lembaga Tatatertib Badan Peguam.

Mereka semua memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar dapatan RCI itu. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2013 memutuskan ia tidak boleh disemak kerana sekadar satu dapatan oleh suruhanjaya berkenaan, bukannya keputusan.

Sementara itu, peguam T Gunaseelan berkata Parlimen turut meluluskan Akta Suruhanjaya Pelantikan Hakim pada 2008 seperti dicadangkan oleh RCI untuk memastikan proses lebih telus melibatkan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

“Ramai yang mempertikaikan akta itu, tetapi ia adalah hasil susulan RCI,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.