
Katanya, menandatangani Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED) dan Statut Rom akan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan terdapat remedi untuk mangsa kehilangan paksa.
Menurutnya, ia juga bimbang dengan gangguan terhadap pembela hak asasi manusia, saudara mara mangsa, saksi dan peguam yang mewakili mereka.
“Hari Antarabangsa Mangsa Kehilangan Paksa diadakan pada 30 Ogos setiap tahun sebagai memperingati pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat disebabkan kehilangan paksa kepada mangsa, ahli keluarga dan rakan mereka, selain meninggalkan kesan menakutkan terhadap masyarakat.
“Laporan SUHAKAM pada 2019 mengenai siasatan awam kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat memutuskan kehilangan paksa sememangnya berlaku.
“SUHAKAM menzahirkan kebimbangan dan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan orang tersayang mereka atas keresahan dan kesedihan berpunca daripada kehilangan paksa Koh dan Amri,” katanya dalam kenyataan.
Inkuiri SUHAKAM pada 2019 menyimpulkan Koh dan Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan kerajaan, iaitu polis Cawangan Khas.
Katanya, laporan pasukan petugas kerajaan berhubung perkara itu belum didedahkan, menyebabkan mereka yang mencari jawapan tidak mempunyai jalan penyelesaian terhadap apa yang berlaku kepada individu hilang tanpa alasan.
SUHAKAM sedang mengadakan inkuiri ke atas kehilangan Joshua Hilmy, orang Melayu yang memeluk agama Kristian, dan isterinya, Ruth Sitepu. Mereka berdua hilang sejak November 2016.