PKR, DAP nafi terima dana asing

PKR, DAP nafi terima dana asing

Parti dalam Pakatan Harapan menjawab dakwaan badan AS bekerjasama dengan parti di Malaysia sejak 2002.

PKR dan DAP menafikan mengambil wang daripada National Endowment for Democracy yang berpangkalan di AS.
PETALING JAYA:
PKR dan DAP masing-masing menafikan menerima pendanaan daripada National Endowment for Democracy (NED), badan berpangkalan di AS yang didakwa membiayai parti pembangkang selama lebih sedekad.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata beliau dan partinya tidak menerima pembiayaan daripada NED. Malah, katanya beliau tidak mempunyai maklumat berhubung isu itu.

“(Presiden parti) Anwar Ibrahim ditahan di penjara untuk tempoh lama pada dekad lalu, manakala Setiausaha Agung Saifuddin Nasutian juga tidak mempunyai maklumat mengenainya,” katanya kepada FMT.

Fahmi juga berkata dakwaan bahawa pembangkang menerima pembiayaan NED “dibangkitkan setiap selang beberapa tahun.”

Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching, berkata sebagai parti politik ia tidak mengambil sebarang wang daripada organisasi berkenaan.

“Ahli DAP mungkin menghadiri beberapa seminar anjuran organisasi asing melibatkan contohnya komunikasi berkesan dan kecelikan media sosial sebelum ini.”

Terdahulu hari ini, seorang aktivis berkata Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan kebergantungannya terhadap pembiayaan diterima daripada NED.

Kua Kia Soong yang juga penasihat SUARAM berkata demikian ketika mengulas dakwaan Daniel Twining, Presiden International Republican Institute (IRI), tiga tahun lalu.

Twining berkata, IRI bekerja dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002 dengan bantuan NED.

“Jadi selama 15 tahun, dengan sumber NED, kami berusaha menguatkan parti pembangkang Malaysia,” kata Twining dalam video yang dikongsikan Kua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.